Tak mahu kempunan
- hokalohmedia1
- May 19, 2017
- 1 min read

PENYERANG sensasi Tok Gajah, Mohamadou Sumareh tidak mahu kempunan dalam penampilan julung kalinya dalam pentas final Piala FA selepas beraksi dalam kancah Liga Malaysia sejak 2012.
Penampilan sulungnya bersama Pahang memberikan peluang keemasan kepada pemain berusia 25 tahun itu mengecap impian bergelar juara apabila menempah tiket ke perlawanan akhir musim ini.
Berdepan Kedah di Shah Alam, esok, Sumareh menjadi senjata utama Pahang merobek gawang lawan.
Menghasilkan tiga gol dalam sai-ngan Piala FA setakat ini, pemain kelahiran Gambia itu tidak sabar untuk beraksi di pentas final.
“Saya tahu Kedah bagus namun rekod pertemuan sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran dan Pahang pun lebih baik berbanding kekalahan dalam saingan liga sebelum ini.
“Saya dan pemain lain memang menyimpan hajat untuk menang dan menjadi juara kali ini dan ini menuntut kami supaya tidak mensia-siakan segala peluang dalam perlawanan tersebut,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, kedua-dua pasukan memiliki kekuatan seimbang tetapi dia tetap optimis dengan peluang dimiliki Pahang untuk muncul juara musim ini.
"Disiplin menjadi kunci utama untuk kami jika mahu menang selain semangat bermain sebagai satu pasukan menjadi elemen dan faktor untuk berjaya. Sokongan peminat Pahang juga menaikkan lagi semangat saya dan pemain lain untuk berjuang sehabis mungkin,” katanya.
Kommentare