top of page
Like Page Kami
Search By Tags

Hiking Buat Newbie

  • Aliza
  • Jun 5, 2017
  • 3 min read

Bersukan tidak bermakna perlu memiliki sebiji bola atau sehelai jersi untuk diklasifikasikan bersukan, sebaliknya aktiviti beriadah juga boleh dikategorikan sebagai salah satu cabangnya. Bagi mereka yang tertanya-tanya tentang definisi aktiviti beriadah, artikel ini adalah salah satu contoh yang baik untuk menjelaskan apa itu aktiviti beriadah. Mungkin ramai masih belum mengenali saya kerana usia yang masih mentah di Astro Arena. Izinkan saya untuk menyelitkan sedikit pengenalan mengenai diri saya terlebih dahulu. Sebelum saya menceburi dunia sukan, bidang pekerjaan yang saya sertai banyak melibatkan aktiviti alam sekitar. Saya terlibat sebagai salah satu pengacara travel log yang terbabit dengan aktiviti semulajadi dan boleh dikatakan 98% rancangan itu melibatkan penggambaran di dalam hutan. Disebabkan itu, dalam diam saya telah jatuh cinta dengan alam semulajadi. Dan baru-baru ini saya berpeluang mendekati alam semulajadi dalam satu segmen di program Arenarama yang bersiaran secara langsung setiap Ahad pada jam 9 pagi. Bertemakan "hiking” atau pendakian di Sungai Pisang selama 45 minit merupakan entri yang saya ingin kongsikan bersama kali ini. Saya pasti semua pembaca faham apa itu "hiking" sebenarnya memandangkan ia merupakan salah satu aktiviti yang agak popular bagi semua lapisan masyarakat. Aktiviti pendakian boleh dikatakan antara aktiviti yang paling mudah untuk disertai, jadi persediaan untuk aktiviti ini cuma persiapan yang bersahaja. Dengan berbekalkan sebotol air mineral, dua bungkus kecil biskut kering, dua batang gula-gula pudina (untuk tujuan kecemasan jika mempunyai masalah pernafasan kerana kesegaran pudina boleh membantu), lima keping pelekat penghalau nyamuk -- cukup-cukup untuk saya dan krew pengambaran, dan plastik sampah -- untuk menyimpan sisa buangan. Dari segi pemakaian , saya memilih untuk memakai baju dan seluar yang cepat kering seperti jersi disebabkan kemungkinan saya akan melintasi sungai dan akan basah dan menggunakan kasut jenis sandal Teva yang sememangnya direka khas untuk aktiviti seperti ini. Ia memudahkan segala pergerakan dalam setiap aktiviti. Sepanjang pendakian, saya sempat mempelajari beberapa tips penting yang dapat membantu untuk memudahkan pendakian saya. Antaranya seperti merendahkan graviti jika laluan terlalu curam. Langkah ini boleh membantu untuk menstabilkan diri dan apabila berada berdekatan dengan tanah, tangan boleh menggunakan kesempatan ini untuk mencapai mana-mana akar yang boleh dicapai untuk bertindak sebagai bantuan untuk bergerak. Selain daripada itu, kita juga boleh mengambil langkah yang kecil jika laluan kelihatan agak mencabar. Ia memudahkan kita untuk mengenalpasti jalan yang lebih selamat. Usah risau jika langkah yang kecil ini membuatkan kita kelihatan agak kelakar, kerana apa yang penting adalah aspek keselamatan. Mendaki boleh menjadi agak mencabar bagi mereka yang tidak mempunyai stamina yang mencukupi. Semput dan rasa sukar untuk bernafas merupakan tanda-tanda stamina yang kurang dan anda disarankan untuk berehat sebentar serta jangan terlalu memaksa diri untuk meneruskan perjalanan. Namun, harus diingat, anda tidak harus berehat terlalu lama sehingga badan terlalu selesa kerana ini akan membuat tubuh berasa berat untuk meneruskan perjalanan. Rehat yang terlalu lama akan mencetuskan proses "cool down" dan tubuh akan mempunyai tanggapan bahawa kita sudah menghabiskan misi mendaki. Pendakian kali ini cukup unik kerana saya juga membuat kerja amal seperti “menderma darah”. Ciri-ciri hutan di negara kita sememangnya menjadi destinasi kegemaran untuk kehadiran binatang kecil seperti pacat dan lintah. Ditambah dengan kesilapan saya yang memilih untuk memakai “sandal” berbanding kasut. Jadi lebih senang untuk mereka melekat di kaki saya. Usah risau, usah bimbang. Rasa sakit langsung tidak wujud sebaliknya anda tidak akan perasan pun sebenarnya pacat ada di kaki atau mana-mana anggota badan kita. Kita sebenarnya boleh memilih sama ada mahu menjatuhkan pacat tersebut ataupun hanya biarkan sahaja, kerana sebaik sahaja darah memenuhi tubuhnya, lintah atau pacat tersebut akan terjatuh dengan sendiri. Jika tidak mampu melihatnya, garam juga boleh ditaburkan untuk melucutkannya. Jangan sesekali cuba untuk menarik semasa pacat sedang menghisap darah kerana berkemungkinan darah akan mengalir terlalu banyak. Rasanya, sampai di sini sahaja nukilan serba sedikit pengalaman saya dalam aktiviti “hiking”. Jangan lupa untuk teruskan bersama saya di Arenarama, setiap Ahad yang bersiaran secara langsung pada jam 9 pagi untuk ikuti lebih banyak pengembaraan saya di dunia sukan.



Comentarios


© 2017 by HokalohMedia

bottom of page