Johor Dipilih Sebagai Medan Persiapan Untuk Perlawanan Kelayakan Piala Dunia
- Admin
- Jun 8, 2017
- 1 min read

KUALA LUMPUR: Skuad kebangsaan China bimbingan Marcello Lippi memilih pusat latihan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai medan persiapan menghadapi perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Syria bermula hari ini hingga 11 Jun ini.
Menerusi laman sosial rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers, skuad di ranking 88 dunia itu meminta untuk menggunakan kemudahan latihan Harimau Selatan, Pusat Latihan Padang Seri Gelam, Johor Bahru itu berikutan ia adalah yang terbaik di negara ini.
"Persatuan Bola Sepak China meminta untuk menggunakan kemudahan milik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai pusat latihan kerana ia adalah kemudahan terbaik yang terdapat di negara ini," menurut paparan yang dikeluarkan laman berkenaan.
"Penggunaan pusat latihan ini secara tidak langsung bukan saja meningkatkan imej kelab JDT tetapi turut menaikkan lagi nama negeri Johor yang semakin pesat membangun." Sebagai rekod, China ketika ini menghuni tangga kelima Kumpulan A selepas mengharungi tujuh perlawanan dengan mengumpul lima mata manakala Syria di tangga keempat dengan kelebihan tiga mata.
Iran memimpin tangga teratas selepas mengumpul 17 mata diikuti Korea Selatan (13) dan Uzbekistan (12). Dua pasukan teratas akan layak secara automatik manakala pasukan di tangga ketiga akan mengharungi pusingan empat bagi mencari pasukan kelima terbaik zon Asia.
Perlawanan di antara China dan Syria itu dijadual berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 13 Jun ini.
Sumber: http://www.bharian.com.my
Comments